Jangan pandang mudah keupayaan parti lawan : Zahid
23 SEPT : Barisan Nasional (BN) diingatkan agar tidak terlalu selasa dan menaruh harapan tinggi untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pelangai walaupun memperoleh majoriti selesa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk, Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya tidak mengambil mudah cabaran lawan walaupun mengambil kira undi diterima BN dan Pakatan Harapan pada PRU15 lalu.
“Jangan terlalu yakin sebab pihak lawan telah bermukim di sini. Jadi kita perlu ambil langkah untuk mendekati pengundi.
“Perikatan Nasional (PN) telah mula berkempen di sini sejak awal dan jentera parti BN perlu melihat perkara itu untuk terus berusaha sepanjang tempoh kempen pilihan raya.
“Dahulu Allahyarham Datuk Johari dapat lebih 4,000 undi, calon PH pula 2,000 undi maka kedua-dua lebih 6,000. Namun jangan terlalu mudah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi calon BN, Datuk Amizar Abu Adam ke Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan keyakinan Kerajaan Perpaduan bakal mengulangi kemenangan di DUN Pelangai selepas memenanginya di dua PRK di Johor, baru-baru ini.
Katanya, keserasian jentera parti-parti Kerajaan Perpaduan khususnya PH dapat membantu kemenangan BN dalam pilihan raya dijadual pada 7 Oktober ini.
“BN menaruh harapan kepada calon boleh menang, beliau (Amizar) juga anak Felda. Tentunya 11,000 pengundi mengharapkan khidmat seperti dilakukan Allahyarham Datuk Johari.
“Saya berasakan beliau calon yang terbaik dan akan meneruskan kesinambungan Datuk Johari,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan pemecatan serta-merta keahlian Pemuda UMNO Bahagian Bentong, Haslihelmy DM Zulhasli berkuat kuasa hari ini.
Ia susulan tindakan Haslihelmy yang juga ahli UMNO Kampung Sum-Sum, memutuskan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK itu.
“Walaupun beliau menjadi calon Bebas, secara automatik mulai hari ini keahlian beliau gugur,” katanya ringkas.
PRK Pelangai menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon BN, Amizar; calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini sehingga jam 11.59 malam pada 6 Oktober dengan pengundian awal pada 3 Oktober.
PRK Pelangai diadakan susulan kematian penyandangnya Johari dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas. OLEH : AISYAH BADRUL