25 SEPT : Cara berkempen menggunakan perkataan kesat dan lucah bukanlah amalan serta budaya politik di Pahang.
Ketua Penerangan UMNO Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata tindakan tersebut dikhuatiri menjejaskan keamanan di kawasan dan negeri itu serta mempengaruhi masyarakat khususnya anak-anak muda.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menggunakan kata-kesat dalam ceramahnya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Felda Kemasul, baru-baru ini.
“Saya sangat kesal dengan kenyataan YAB Menteri Besar Kedah dalam ceramahnya di Felda Kemasul dua hari lepas yang mengeluarkan kata-kata kesat dalam ceramah tersebut.
“Ini bukan budaya dan amalan di Pahang. Ini bukan cara kita di Pahang. Kita hidup dalam rukun, aman dan harmoni selama ini,” katanya selepas melakukan lawatan ke gelanggang futsal dan liga sepakan penalti, semalam .
Dalam pada itu, Fadzli yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dong mengaskan pendekatan untuk menambat hati pengundi bukannya dengan cara kurang sopan seperti menghasut, memaki-hamun dan kata-kata kesat.
“Sebab mereka-mereka ini akan pulang ke kawasan masing-masing selepas hari pengundian, maka apa jadi dengan masyarakat di sini?.
“Semua pihak diminta supaya menjaga keharmonian di dalam masyarakat dengan tidak membawa budaya politik sedemikian di negeri ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga turut mengingatkan pihak yang datang berkempen di Pelangai untuk tidak melagakan masyarakat di kawasan ini.
Katanya, ahli politik tidak seharusnya bertindak menanam kebencian terhadap parti politik lain serta masyarakat di Pelangai.
“Jadi saya minta pihak luar, pemimpin-pemimpin luar yang datang berkempen di Pelangai sempena PRK ini janganlah mengeluarkan kenyataan-kenyataan sebegitu dan kata-kata kesat,” katanya.