26 SEPT : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meyakini kesetiaan warga Felda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai masih pada UMNO-Barisan Nasional (BN) sekali gus menolak dakwaan Perikatan Nasional (PN).
Malah beliau berkata ketiga-tiga Felda di DUN Pelangai itu dimenangi UMNO-BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu.
DUN Pelangai meliputi tiga penempatan Felda iaitu Felda Chemomoi, Felda Kemasul dan Felda Kemahal.
“Untuk di DUN Pelangai ini terdapat tiga kawasan Felda dan ketika PRU15 semua menang. Mungkin banyak kalah Felda lain.
“Jadi kita masih menganggap Felda ini sebagai kubu kuat UMNO dan BN,” katanya ditemui ketika turun padang di Felda Kemahal di Bentong, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyebut Felda kini bukan lagi kubu kuat BN dan mendakwa sokongan peneroka sudah beralih kepada PN dalam pilihan raya baru-baru ini.
Berdasarkan rekod daftar pemilih Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) terdapat 7,983 pengundi bagi ketiga-tiga felda tersebut berbanding 16,456 pengundi keseluruhannya.