26 SEPT : Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang dalam pertimbangan untuk memberi subsidi beras import dalam satu tempoh yang munasabah bagi menyelesaikan masalah kekurangan beras tempatan dalam jangka masa pendek.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata berkata inisiatif itu dilakukan supaya jurang harga antara beras import dan beras tempatan dapat dikurangkan.
“Pagi ini saya mengadakan perbincangan dengan Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan berkaitan topik beras yang sedang hangat diperkatakan pada waktu ini.
“Antara topik perbincangan kami tadi adalah berkenaan dengan cadangan untuk memberikan subsidi kepada beras import buat satu tempoh yang munasabah supaya jurang harga antara beras import dan beras tempatan dapat dikurangkan.
“Kami juga turut membincangkan tentang rancangan jangka panjang bagi memastikan industri padi dan beras negara terus berkembang dan berdaya tahan di masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad turut mengingatkan kepada semua pengguna supaya membeli beras mengikut keperluan dan tidak melakukan pembelian panik.
Katanya, beliau yakin isu ini akan dapat ditangani dengan sebaiknya demi kepentingan rakyat dan negara.
Pada masa sama, Mohamad turut menggesa Kementerian Kewangan mengkaji semula penggunaan beras tempatan dalam tender-tender kerajaan.
“Saya yakin dengan pelbagai usaha yang sedang dijalankan ini, isu beras akan kembali reda dalam masa beberapa minggu lagi,” katanya.
Sebelum ini, Mohamad dilaporkan berkata semua isu berbangkit berkaitan bekalan beras akan dibawa untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet pada 27 September.
Beliau juga berkata warga asing di Malaysia perlu diberi keizinan untuk terus membeli bekalan beras termasuk beras tempatan atas dasar kemanusiaan. OLEH : AISYAH BADRUL