26 SEPT : Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How hari ini menafikan beliau mentafsir al-Quran seperti yang didakwa pelbagai pihak.
Beliau tampil pada sidang media khas bagi menyatakan permohonan maaf berhubung video yang dihasilkannya berkait tafsir al-Quran yang tular hingga mencetuskan perdebatan di media sosial.
Namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu menegaskan, tindakannya menghasilkan video yang memetik ayat 59 surah an-Nisa itu bukan membuta tuli sebaliknya sudah mendapat pandangan golongan alim.
“Saya guna istilah memetik kerana tuduhan bahawasanya saya tafsir (al-Quran). Saya tidak mentafsir, saya hanya memetik menggunakan ayat itu dan itu pun atas cadangan orang serta pihak yang alim.
“Saya ambil kesempatan ini untuk meminta maaf atas segala kesulitan yang telah diwujudkan dan memohon maaf bagi semua pihak termasuk rakan-rakan, saudara-saudari bukan Islam dari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Gerakan dan mana-mana parti lain yang telah memetik ayat suci al-Quran dalam konteks politik.
“Saya bagi pihak semua yang pernah membuat kesilapan yang sama…kerana bukan saya sahaja, ramai daripada semua parti politik khususnya yang tular dalam media sosial termasuk daripada yang menyokong PAS, Gerakan yang menyerang saya…saya mohon maaf bagi pihak mereka dan diri sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pusat Khidmat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur di Jalan Pasir Puteh di Ipoh, hari ini.
Permohonan maaf itu dibuat ADUN DAP itu selepas beliau selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, petang tadi.
Pada sidang media sama, beliau menyatakan penghargaan ke atas nasihat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar tidak lagi mengulangi perbuatan itu.
Namun, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sempat melahirkan rasa sangsi dengan tindakan PAS dan Gerakan menyerangnya dalam isu tersebut.
“Mengapa dahulu sewaktu DAP pernah berada dalam satu wadah dengan parti PAS, boleh dan digalakkan untuk belajar serta mendalami maksud dan maqasid di sebalik al-Quran tapi sekarang tidak boleh?
“Saya juga sangsi mengapa anggota DHPP boleh sahaja baca dan lafaz bahasa Arab ayat al-Quran tetapi saya tafsir pula diserang bertubi-tubi,” katanya.
Sebelum ini, tindakan Howard Lee mentafsirkan potongan ayat surah an-Nisa untuk menggesa umat Islam menyokong Kerajaan Perpaduan melalui video di TikTok mengundang kemarahan pelbagai pihak.
Sehubungan itu, polis menyiasat dakwaan terhadap Howard Lee yang dikatakan membuat tafsiran sendiri di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.