26 SEPT : Tindakan mengenal pasti peluang pelaburan akan dilakukan selepas lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Amerika Syarikat (AS) pada 20 hingga 24 September lalu berakhir dengan jayanya.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata kementerian di bawahnya akan memberi fokus dalam ekonomi digital dan banyak peluang dilihat dalam bidang berkenaan.
“Saya akan bertemu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk berbincang mengenai peluang yang ada kerana kita sudah pasti ingin jadikan Malaysia hab digital dan bukan sahaja hab pemprosesan data. Saya percaya Malaysia mampu jadi harimau digital Asia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyambut kepulangan Anwar dan isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Anwar berada di AS bagi mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York.
Kata Fahmi, peluang jemaah menteri untuk mencari pelabur bagi sektor tertentu dilihat cerah menerusi tiga dokumen besar negara iaitu Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Dalam pada itu, Fahmi berkata lawatan perdana menteri ke AS berjalan dengan baik serta penampilan Anwar dialu-alukan di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas 25 tahun.
Perdana menteri juga menyentuh isu berkaitan krisis iklim, pembangunan mampan (SDG), Islamofobia dan Malaysia MADANI serta menyatakan kebimbangan terhadap konflik global di seluruh dunia seperti di Palestin, Ukraine, Afghanistan serta Myanmar menerusi Kenyataan Negara yang disampaikannya.
Pada masa sama, Fahmi berkata wawancara Anwar bersama media antarabangsa dan pertemuan dengan 15 syarikat besar akan membawa peluang pelaburan ke Malaysia.
“Ini akan memberi peluang kepada pelabur memahami dengan mendalam bagaimana Malaysia berubah dan semakin stabil serta memberi ruang luas kepada pelabur pertimbang Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara,” katanya.