28 SEPT : Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menjamin bekalan beras putih mencukupi bagi mengisi keperluan rakyat negara ini.
Bernas memaklumkan sehingga Ogos, pihaknya sudah menyalurkan 630,000 tan metrik beras putih sejak Januari lalu.
Menurut Bernas, berlaku peningkatan sehingga 38 peratus lebih tinggi berbanding purata jualan bulanan bagi tempoh lima tahun lalu.
“Ini bermakna, bekalan beras putih adalah lebih daripada mencukupi tanpa kerajaan perlu menggunakan bekalan stok penimbal.
“Namun demikian, permintaan ke atas beras putih tempatan semakin meningkat disebabkan perbezaan harga beras putih tempatan dan import.
“Peningkatan ini disebabkan peralihan permintaan daripada beras putih import kepada beras putih tempatan oleh pengguna, pembekal kontrak dan pemain-pemain industri makanan,” kata Bernas dalam satu kenyataan.
Melalui peranannya sebagai pembeli padi yang terakhir, Bernas menjelaskan purata pegangan pasaran padi tempatan syarikatnya hanya sekitar 10 peratus, selebihnya dibeli dan diproses kilang swasta.
Bagi menjamin bekalan beras tempatan, Bernas menegaskan pihaknya sentiasa komited dan menyokong semua program intervensi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).