28 SEPT : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar akan bertemu Ahli Parlimen DAP, Howard Lee Chuan How dalam masa terdekat.
Mohd Na’im berkata beliau akan memberi penjelasan kepada Howard berhubung isu-isu melibatkan tafsiran al-Quran susulan insiden video Ahli Parlimen Ipoh Timur itu yang tular.
“InsyaAllah bila kita ada ‘engagement’ yang sebegini dengan orang bukan Islam, kita harapkan mereka dapat terima (Islam) sebagai satu agama yang rahmah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Sebelum ini, Howard Lee menjadi tumpuan selepas video beliau menghasilkan video yang memetik ayat 59 surah an-Nisa mendapat kecaman dianggap menghina agama Islam.
Beliau kemudiannya tampil memohon maaf beberapa hari kemudian.
Sebelum ini Mohd Na’im dilaporkan mengingatkan mufti-mufti agar memainkan peranan memberikan penjelasan sekiranya ada perkara berbangkit mengenai isu berkaitan agama.
Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im ketika ditanya tentang spekulasi rombakan jemaah menteri, beliau mengingatkan rakan-rakan menteri agar melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin memandangkan jawatan itu suatu amanah.
“Jawatan ni satu amanah. Kuasa ini Allah yang tentukan. Dia (Allah) akan beri dan Dia akan tarik,” katanya.
“Jadi, sementara sebelum ditarik, kita laksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya,” katanya.