29 SEPT : Kerajaan bakal menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV) Kementerian Kewangan (MOF) kepada institusi Islam itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyerahan semula aset TH itu bagi menepis dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan dibawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam.
“Selepas meneliti, saya sudah beritahu dari awal sejak ambil jawatan ini, sebaik TH diurus dengan baik dan menyakinkan maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanhkan kepada SPV kepada TH.
“Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan ketika itu kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di Kuala Lumpur, hari ini, lapor BH.
Menurut Anwar, MOF berpuas hati terhadap isu pengurusan dan tata kelola yang berbangkit sebelum ini selain prestasi kewangan TH yang terus memulih khususnya selepas bergelut isu kepincangan sebelum ini mendorong kepada keputusan itu.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.
FAKTA SPV:
* Syarikat tujuan khas (SPV) ditubuhkan untuk menjalankan projek tertentu, biasanya berkenaan dengan pelaburan dan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
* SPV biasanya dikawal dengan ketat dan hanya dibenarkan untuk membiayai, membeli dan menjual aset. Jika ia bankrap, ia tidak akan menjejaskan syarikat induk.
* Lesen yang dikeluarkan di Malaysia untuk SPV adalah sah untuk tempoh yang boleh berubah, di antara 12 tahun dan 99 tahun, bergantung pada keperluan projek yang dilakukan.
* SPV akan diserap kepada pemilikan Kerajaan Malaysia pada pengakhiran projek itu.