29 SEPT : Selepas Maybank, Public Bank dan CIMB mengumumkan pengecualian caj kepada vendor yang menggunakan platform kod QR DuitNow, dua lagi bank turut mengikut jejak sama.
Bank Islam Malaysia Bhd dan Ambank Group membuat pengumuman tersebut dalam satu kenyataan, hari ini.
Bank Islam berkata, peniaga mereka boleh terus menerima pembayaran melalui DuitNow QR secara percuma sehingga diberitahu kelak.
“Bank Islam komited untuk memastikan komunikasi yang telus mengenai sebarang perubahan dalam struktur yuran bank kepada semua peniaga kami,” katanya.
Mana-mana peniaga yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi pusat hubungan Bank Islam dengan menghantar e-mel di contactcenter@bankislam.com.my.
Dalam kenyataan yang berasingan, Ambank Group mengumumkan Ambank dan AmBank Islamic tidak akan mengenakan sebarang bayaran ke atas peniaga mereka yang menggunakan DuitNow QR.
“Semua peniaga akan terus menerima pembayaran DuitNow QR tanpa sebarang caj sehingga diberitahu kelak,” kata bank itu.
Kata kumpulan itu, sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada meja bantuan peniaga di talian 03-21677800.
Terdahulu, pengendali platform pembayaran melalui kod QR, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) mengesahkan vendor yang menerima pembayaran menerusi platform kod QR DuitNow akan dikenakan caj mulai 1 November ini.