30 SEPT : Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta pihak berkuasa tempatan melaksanakan pemantauan dan keperluan penambahbaikan terhadap infrastruktur awam di kawasan berisiko banjir.
Menerusi kenyataan KPKT pada Sabtu, ia susulan peralihan fasa Monsun Timur Laut (MTL) pada November ini hingga Februari 2024.
“Ia termasuk mengenal pasti kawasan parit, longkang, pembetung dan kolam takungan yang berisiko menyebabkan kejadian banjir dan seterusnya melaksanakan kerja pembersihan serta penyelenggaraan bagi melancarkan aliran air.
“Tapak projek pembangunan juga akan dipantau bagi memastikan saliran air seperti kolam takungan dan kebersihan kawasan pembangunan berada dalam keadaan baik,” menurut kenyataan itu.
KPKT berkata, pihaknya sentiasa bersedia memberi respons pantas sekiranya khidmat bantuan penyelamatan diperlukan dengan menyediakan Pasukan Gerak Cepat (MTL RED Team).
MTL RED Team akan ditempatkan di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Terengganu, Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor.
Bagi pengurusan bencana banjir, Pelan Pengurusan Operasi Pembersihan Sisa Pasca Banjir disediakan sebagai panduan kepada semua agensi yang terlibat untuk memastikan proses pengurusan kerja pembersihan sisa pascabanjir lebih teratur dan berkesan.
Pada masa sama, KPKT berkata Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan terdapat kekuatan seramai 15,639 anggota, iaitu 13,435 pegawai sepenuh masa (PSM) dan 2,204 pegawai bomba bantuan (PBB) dengan 80 peratus pegawai dan anggota bomba dibekukan cuti hingga Februari 2024.
“JBPM juga telah bersedia dengan kekuatan logistik sebanyak 1,150 jenis kenderaan angkut ringan, kenderaan angkut berat dan kenderaan marin pelbagai jenis untuk kegunaan menghadapi MTL 2023.
“JBPM juga telah mengenal pasti sebanyak 4,795 lokasi titik panas banjir melalui data terbuka Jabatan Pengairan dan Saliran serta pemantauan daripada balai bomba seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, Sarawak merekodkan jumlah kawasan berisiko banjir yang paling tinggi iaitu 1,034 kawasan diikuti Kelantan (595), Pahang (554) dan Sabah (520),” katanya.