3 OKT : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar menitipkan pesanan dan nasihat kepada Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee susulan kontroversi tafsiran ayat al-Quran yang dibuat pemimpin politik DAP itu.
Menerusi pertemuan pada Isnin, Howard bersetuju dengan nasihat Mohd Na’im agar lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini.
“Pertemuan yang sangat membina, satu persefahaman iaitu Islam tetap wajib ditegakkan di Malaysia sebagai agama Persekutuan.
“YB (Yang Berhormat) Howard bersetuju dengan nasihat saya supaya lebih berhati-hati dalam mengambil petikan ayat al-Quran agar tidak menimbulkan salah faham terutama di zaman media sosial ini,” kongsi beliau menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.
Terdahulu, Howard Lee dilaporkan mentafsirkan potongan ayat daripada surah an-Nisa melalui sebuah video yang tular dalam media sosial.
Susulan tindakan Howard itu, Dewan Pemuda PAS Perak membidas dan menyifatkan Howard sebagai kurang ajar dan cuba melakukan memprovokasi apabila mendakwa ahli Parlimen DAP itu menjadi pentafsir kepada al-Quran dengan memutarbelitkan tafsir ayat 59 surah an-Nisa.
Bagaimanapun, Howard mempersoalkan pendirian PAS ketika parti itu bersama DAP dalam Pakatan Rakyat yang mana PAS menggalakkan orang bukan Islam menyelami maksud dan maqasid di sebalik al-Quran.
Pada 26 September, Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP itu tampil memohon maaf menerusi sidang media yang dibuat di Pusat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dekat Pengkalan selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Howard berkata, permohonan maaf itu dibuat antaranya mengambil kira saranan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menegurnya supaya tidak mengulangi perbuatan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran.