3 OKT : Jumlah kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kategori tidak sihat menurun kepada tiga kawasan, merangkumi dua negeri setakat jam 5 petang, hari ini.
Berdasarkan kemas kini terbaharu di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), stesen di Nilai, Negeri Sembilan merekodkan bacaan IPU paling tinggi iaitu (155) diikuti dengan Cheras, Kuala Lumpur pada (154) dan Seremban (115).
Sementara itu, sebanyak 62 stesen merekodkan bacaan sederhana iaitu daripada 51 hingga 100 iaitu antaranya Port Dickson, Negeri Sembilan (97); Shah Alam, Selangor (96); Petaling Jaya, Selangor (95); Alor Gajah, Melaka (94); Banting, Selangor (93); Batu Muda, Kuala Lumpur (93); Tangkak, Johor (90) dan Bukit Rambai, Melaka (89).
Selain itu, daripada 68 stesen seluruh negara, sebanyak tiga stesen iaitu Langkawi, Kangar dan Kimanis merekodkan bacaan IPU paras yang baik di bawah 50.
Dalam pada itu, kementerian dan setiap agensi terlibat dalam pengurusan bencana jerebu sedang mempertingkatkan usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan jerebu di peringkat tempatan.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam dan menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah apabila bacaan IPU melebihi 100.
Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.