5 OKT: Kerajaan memberi jaminan akan memastikan harga beras putih import (BPI) di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak tidak terlalu tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu perlu dilaksanakan memandangkan kos pengangkutan turut dikira meskipun kerajaan memberikan subsidi untuk menurunkan harga BPI kepada RM31 bagi kampit 10 kilogram bermula esok.
“Sekarang, harga beras (BPI) turun kepada RM31 tetapi di kawasan pedalaman mungkin tinggi sikit kerana kos pengangkutan.
“Jadi Kerajaan Persekutuan akan bincang dengan negeri mengenai langkah boleh diambil bagi memastikan harga BPI di kawasan pedalaman kedua-dua negeri tidak membebankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan Konvensyen Pengurusan Hal Ehwal Islam sempena Ijtimak Perdana Agensi Agama Seluruh Malaysia (IJPAM) 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan penurunan harga beras kepada RM31 dengan memberi subsidi RM950 bagi satu tan BPI di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa esok.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pengumuman kerajaan tentang subsidi beras bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah tidak dibebankan dengan harga beras yang tinggi.
“Saya dimaklumkan oleh kerajaan negeri dan pegawai ada tempat harga beras import di Sabah ketika ini RM45, ada RM41 dan ada RM39, jadi bagaimana kita nak kurangkan harga beras? Ini keperluan harian untuk makanan keluarga.
“Maka Isnin lalu kita umumkan untuk mengurangkan tekanan rakan-rakan Sabah dan Sarawak dengan turunkan harga beras import daripada RM45 kepada RM31,” katanya.
Selain itu, Anwar berkata keputusan yang diambil oleh kerajaan ini juga selepas mengambil kira keluhan rakyat kedua-dua negeri yang terbeban dengan kenaikan BPI baru-baru ini.
“Seperti kita sudah maklum, beras tempatan tidak tersebar luas iaitu 25 peratus saja di Sabah, maka di sini terpaksa bergantung kepada beras import.
“Subsidi ini maknanya harga itu tinggi dan kita bayar untuk kurangkan. Ia bukan ekonomi pasaran, ini disebut sebagai campur tangan kerajaan untuk mengurangkan beban. Subsidi makanan itu tinggi, subsidi ayam dan telur sehingga 30 September lalu saja mencecah RM3.8 bilion,” katanya.