7 OKT : Penarikan balik tauliah mengajar agama Islam di Selangor terhadap penceramah Abdullah Khairi Haroon dibuat berdasarkan keputusan Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata keputusan itu selaras dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan pemberian tauliah mengajar agama Islam kepada mana-mana aktivis politik.
Katanya, mana-mana pemegang tauliah boleh membuat rayuan kepada pihak MAIS.
“MAIS menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam dan menghormati titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah diberikan kepada mana-mana aktivis politik.
“Ini kerana ia dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.
Media sebelum ini melaporkan MAIS menarik balik tauliah yang diberikan kepada Abdullah berkuat kuasa 27 September lepas selepas dikongsi di media sosial oleh pendakwah itu, 5 Oktober lalu.
Dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Oktober lepas yang membatalkan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam Ahmad Dusuki Abdul Rani oleh MAIS.
Katanya, keputusan mahkamah dibuat berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.
“Justeru, titah Sultan Selangor ini masih berkuat kuasa di negeri Selangor,” katanya.
Abdul Aziz menegaskan keputusan MAIS untuk menarik balik tauliah Ahmad Dusuki dibuat selaras dengan titah Sultan berdasarkan maklumat tentang status keaktifannya dalam parti politik, termasuk tapisan keselamatan oleh polis.
“MAIS memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah tersebut atas alasan, antara lain, rayuan yang difailkan ini hanya bersifat akademik kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Ahmad Dusuki telah tamat pada 30 Jun lalu,” katanya.