Roger Ng sudah tiba di Malaysia
8 OKT : Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa sudah tiba di Malaysia dan perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ia adalah bagi membantu siasatan pihak berkuasa berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, Razarudin enggan mendedahkan lokasi keberadaan Roger Ng pada masa ini atas faktor keselamatan.
“Saya sahkan, dia (Roger Ng) sudah berada di negara ini selepas tiba tengah malam tadi,” katanya.
Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan, Roger Ng dijangka tiba di Malaysia tengah malam Sabtu, bagi membantu proses siasatan berkaitan skandal 1MDB.
Beliau dilaporkan berkata, tempoh berapa lama Roger Ng akan berada di Malaysia adalah bergantung kepada proses siasatan.
Roger Ng dihantar balik ke Malaysia bagi tujuan pihak berkuasa di Malaysia meneruskan siasatan mengenai 1MDB atau Goldman Sachs.
Sebelum itu, Ketua Hakim Daerah Amerika Syarikat (AS), Margo Brodie di Brooklyn, telah mengarahkan Roger Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marshal AS supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.
Roger Ng yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana kekayaan 1MDB akan diserahkan kepada Malaysia.