8 OKT : Penyediaan ekosistem dan tenaga kerja mahir perlu lebih difokuskan, khususnya dalam bidang pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, ia sebagai persediaan mendepani kerjaya berasaskan teknologi digital.
Katanya lagi, usaha itu adalah berdasarkan laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF)yang menyatakan lapan daripada 10 pekerjaan baharu memerlukan kemahiran teknologi digital, dan kerjaya berasaskan teknologi digital meningkat hampir tiga kali ganda.
“Langkah persediaan ini amat penting untuk meningkatkan kemampuan dan kebolehan ke arah alam pekerjaan, di samping menanam rasa minat terhadap bidang STEM sejak dari bangku sekolah.
“Justeru, inisiatif #Mydigitalmaker melalui Karnival #Mydigitalmaker yang merupakan antara komponen utamanya, telah memainkan peranan amat penting dalam memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir negara,” katanya dalam ucapan pada majlis Penutup Karnival #Mydigitalmaker 2023, di ibu negara, hari ini.
Fahmi berkata, berdasarkan laporan ‘The Economic Impact of Generative AI: The Future of Work in Malaysia’, teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif berpotensi membuka kapasiti produktif ekonomi Malaysia hingga AS$113.4 bilion dan mampu menghasilkan pekerjaan berpendapatan tinggi untuk negara.
“Ketika ini, perniagaan berteraskan teknologi digital menyumbang lebih daripada separuh ke arah ekonomi global. Dalam dekad akan datang, ekonomi digital bakal mencipta 70 peratus daripada semua nilai baharu,” katanya.
Beliau berkata, #Mydigitalmaker adalah inisiatif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) yang dijalankan sejak 2016, dan telah memberi manfaat kepada 2.5 juta pelajar sekolah.
“Menerusi inisiatif ini, pelajar berpeluang mendekati pelbagai program berasaskan teknologi digital seperti pengekodan, teknologi dron, AI, pembangunan permainan dan sebagainya.
“Langkah proaktif seperti inisiatif Gerakan #Mydigitalmaker, berfungsi sebagai pemboleh utama Ekonomi MADANI yang seterusnya bertindak sebagai pemacu negara ke arah status negara maju,” katanya