11 OGOS: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili, sedia disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung dakwaan menerima rasuah bernilai RM500,000.
Saiful Azmi Suhaili, yang menyedari dikaitkan dengan isu itu menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan.
“Saya tiada masalah sebab saya tak terbabit langsung dengan perkara itu. Saya juga sudah melantik peguam dan akan merujuk pada arahan atau keputusan dicadangkan peguam untuk tindakan selanjutnya.
“Saya juga akan merujuk kepada peguam sama ada terdapat keperluan untuk berbuat demikian dan mahu menegaskan tidak berjumpa dengan pegawai kanan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, SPRM Terengganu mengakui, sedang melakukan siasatan berhubung dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Terengganu, terbabit dengan rasuah berjumlah RM500,000.
Pengarah SPRM Terengganu Ruslan Che Amad berkata, pihaknya sedia maklum dengan isu yang ditularkan pihak tertentu sejak semalam dan pelbagai maklumat telah dikumpulkan.
Tanpa mahu mendedahkan secara terperinci, beliau yang dihubungi Bernama berkata, isu yang ditularkan orang ramai itu telahpun berada dalam pengetahuannya sebelum ini, dan berharap tiada pihak yang menyebarkan apa jua maklumat di media sosial.