9 OKT : Seramai 43 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket Macau Scam berjaya diselamatkan selepas dilarikan ke negara Amerika Selatan, Peru.
Menurut kenyataan Wisma Putra hari ini, pihaknya mengesahkan kesemua mangsa itu diselamatkan polis Peru pada 7 Oktober lalu.
Kementerian Luar dalam berkata, semua mangsa terbabit yang dipercayai menjadi mangsa penyeludupan manusia berjaya diselamatkan pihak polis republik itu dalam satu serbuan di sekitar kota raya Lima yang juga ibu negara republik itu kelmarin.
“Menurut Kedutaan Besar Malaysia di Lima, pihak polis Peru mengadakan satu serbuan di sebuah rumah di La Molina, yang mana semua mangsa warganegara Malaysia terbabit sudah dikenal pasti dan diselamatkan.
“Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Lima sudah melakukan lawatan konsular ke atas semua mangsa dan mendapati mereka berada dalam keadaan baik,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Kedutaan Besar Malaysia di Lima akan terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan mengenai kes ini dan akan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada semua mangsa.
“Kesemua 43 mangsa sudah selesai menjalani proses siasatan dan dijangka dihantar pulang dalam masa terdekat.
“Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular boleh berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Lima menerusi talian +51-1-422-0297, +51-1-441-1939, +51-1-441-0795 atau e-mel mwlima@kln.gov.my,” katanya.