11 OKT : Masyarakat Malaysia dan Indonesia digesa memberi tumpuan utama terhadap hubungan baik kedua-dua negara berbanding isu-isu yang berbangkit.
Bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata isu-isu dihadapi kedua-dua negara ini hanya sebahagian resam hidup berjiran, malah ia boleh diselesaikan dalam keadaan yang baik.
“Kita akan terus berjiran selama-lamanya, kerana itu setiap kali ada masalah, kita bahaskan (bincang) secara terbuka,” katanya selepas majlis makan malam anjuran Pertubuhan Kebajikan Jamiatul Khairiah Selangor dan Wilayah Persekutuan, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu-isu berbangkit antara Malaysia dan Indonesia seperti jerebu yang merentas sempadan dan pekerja migran Indonesia.
Dalam pada itu, Anies yang juga bakal calon Presiden Indonesia daripada Koalisi Perubahan untuk Persatuan (KPP) berharap polisi kedua-dua negara bagi pekerja migran dapat diselaraskan.
“Pertemuan bersama komuniti Indonesia di Malaysia pada Selasa banyak membicarakan tentang pekerja migran dan itu yang perlu dibahas bersama-sama, bukan hanya pekerja tetapi juga anak-anak mereka supaya mereka mendapat kesempatan yang setara dan mempunyai masa depan yang baik,” katanya.
Mengulas mengenai hubungan Indonesia dengan China dan Amerika Syarikat, Anies berkata Indonesia perlu menjaga keseimbangan dalam hubungannya dengan kedua-dua kuasa besar itu selaras dengan pendekatan ASEAN.
Jelau beliau, Indonesia perlu menjaga nilai ‘value-based foreign policy’ demi kedaulatan negara itu.
“Jadi ketika ada tindakan (pihak luar) yang menombor duakan (membelakangkan) kedaulatan, we should stand up,” katanya.
Anies berada di Malaysia bagi memenuhi undangan menyampaikan kuliah di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-IIUM) pada Rabu.