11 OKT : Kerajan disaran tidak terlalu bergantung kepada perjanjian konsesi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dalam menjamin kestabilan industri beras negara ketika ini.
Naib Pengerusi Kementerian Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Wong Shu Qi berkata pihaknya menyaran kerajaan untuk mengkaji alternatif lain dalam menangani isu ini sekaligus dapat meningkatkan hasil beras negara.
Sehubungan itu, Wong berkata PAC Parlimen mengesyorkan lapan alternatif kepada kerajaan bagi tujuan penambahbaikan serta bayaran obligasi sosial perjanjian pengurusan industri padi dan beras negara.
“Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga perlu memantau Akaun Amanah Dana Obligasi Sosial Bernas bagi memastikan segala penyaluran dan penggunaan dana berkenaan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan Surat Ikatan Amanah.
“Selain itu, KPKM hendaklah memastikan Bernas menyalurkan dana obligasi tepat pada masanya selaras dengan perjanjian konsesi Bernas,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Wong berkata prosiding berhubung isu itu diadakan pada 14 Jun lepas dengan memanggil Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali; Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi KPKM merangkap Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Datuk Azman Mahmood; dan Ketua Bahagian Bernas Abdul Rahman Mohd Nasri sebagai saksi bagi memberikan keterangan dan penjelasan.
Dalam pada itu, Wong memaklumkan keputusan itu dilakukan susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 yang mendedahkan kerugian wang awam berjumlah RM37 juta disebabkan dana obligasi 2021 belum diterima serta pembayaran tidak teratur berjumlah RM370,000 bagi bayaran Skim Subsidi Harga Padi kepada pesawah yang telah meninggal dunia.
Pada masa sama, PAC turut memulakan prosiding berhubung Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp) pada 23 Okt di bawah tajuk ‘Pengurusan Dana Latihan dan Keberkesanan Program Latihan HRD Corp’.
“Saksi yang akan dipanggil adalah Pegawai Pengawal Kementerian Sumber Manusia (KSM) Datuk Amran Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KSM dan Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Wira Shahul Dawood.
“Tujuan PAC memulakan prosiding ini adalah bagi mengkaji dan meneliti pengurusan dan keberkesanan program–program HRD Corp bagi memastikan dana dan peruntukan kerajaan diurus dengan cekap dan berkesan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Tambah Wong, program–program serta latihan yang dibekalkan akan diteliti bagi memastikan dana dan peruntukan yang diberi bagi tujuan-tujuan pemantapan kompetensi dan tenaga mahir negara adalah bertepatan dengan keperluan majikan serta arus industri dan ekonomi semasa.