11 OKT : Mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu akan diadakan pada 17 Oktober ini.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata pihaknya menerima Laporan Hakim Pilihan Raya susulan keputusan petisyen yang membatalkan keputusan bagi Parlimen P040 Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November lalu.
Menurunya tiada notis rayuan difailkan terhadap keputusan itu sehingga tamat tempoh 14 hari.
“Sehubungan itu, selaras dengan Seksyen 36C Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengeluarkan notis pilihan raya bagi mengisi kekosongan kerusi itu dalam tempoh 60 hari dari tarikh akhir ditetapkan untuk pemfailan rayuan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ikmalrudin berkata mesyuarat khas itu akan dikendalikan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang dijangka membincangkan tarikh-tarikh penting PRK seperti hari bagi writ pilihan raya, penamaan calon serta pengundian dan daftar pemilih yang akan digunakan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.
Katanya, sebaik selesai mesyuarat, satu sidang media akan diadakan.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili PAS setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.
Pada 3 Oktober lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.