12 OKT : Kumpulan Goldman Sachs yang terkait dalam skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan memfailkan saman terhadap kerajaan Malaysia, semalam.
Jurucakapnya berkata kepada Reuters, tindakan itu diambil selepas mereka mendakwa Malaysia melanggar obligasi untuk mengkredit aset dengan sewajarnya.
Saman itu difailkan di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa London (LCIA).
“Hari ini (semalam), kami memfailkan saman timbang tara ke atas Kerajaan Malaysia kerana melanggar obligasinya untuk mengkredit aset dengan sewajarnya terhadap jaminan diberikan oleh Goldman Sachs dalam perjanjian penyelesaian kami serta bagi mendapatkan semula aset lain,” kata jurucakap bank itu kepada Reuters.
Pada 2020, Goldman Sachs bersetuju membayar AS$3.9 bilion untuk menyelesaikan siasatan jenayah dijalankan Malaysia terhadap peranan bank pelaburan Amerika Syarikat (AS) itu dalam skandal dana 1MDB yang membabitkan berbilion dolar.
Pihak berkuasa Malaysia serta AS menganggarkan AS$4.5 bilion sudah dicuri daripada 1MDB melalui skim terperinci yang menjangkau serata dunia dengan membabitkan bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak; pegawai peringkat tinggi dalam dana itu; kakitangan Goldman dan lain-lain lagi.
Menurut Pendakwa Raya, Goldman membantu 1MDB mengumpulkan AS$6.5 bilion menerusi tiga jualan bon, namun AS$4.5 bilion didakwa ‘dilencongkan’ kepada pegawai kerajaan, jurubank serta rakan sekutu mereka melalui rasuah dan sogokan antara 2009 dan 2015.
AS sudah memulangkan dana diperoleh daripada rampasan aset didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB yang dicuri.