13 OKT : Sebanyak RM393.8 billion atau 19.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diperuntukkan bagi Belanjawan 2024 dengan 77.1 peratus atau RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan (DE).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 menunjukkan peruntukan perbelanjaan operasi (OE) dijangka mencatat sebanyak RM303.8 bilion atau 15.4 peratus daripada KDNK.
“Secara keseluruhan, kerajaan menjangkakan paras defisit fiskal terus menurun kepada 4.3 peratus daripada KDNK dan kekal pada landasan konsolidasi selari dengan jangkaan hasil yang lebih tinggi dan perbelanjaan yang rendah.
“Kutipan hasil kerajaan Persekutuan pada 2024 dianggar terus meningkat kepada RM307.6 bilion atau 15.6 peratus daripada KDNK didorong oleh kutipan yang lebih tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, hasil cukai terus menjadi penyumbang utama dan dijangka meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM243.6 bilion berikutan pengembangan aktiviti ekonomi, peningkatan keuntungan syarikat dan penambahbaikan guna tenaga.
“Hasil bukan cukai diunjur berkurang kepada RM64 bilion terutamanya disebabkan oleh dividen yang lebih rendah daripada Petronas,” katanya.
Belanjawan 2024 yang bertemakan Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat akan menjadi kerangka besar bagi berdepan kepelbagai cabaran semasa, dan jangka panjang dengan menaikkan siling dan lantai.
Belanjawan kali ini memberi fokus kepada tiga tumpuan utama iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat.
“Ekonomi MADANI juga menjadi induk kepada dasar-dasar yang telah diluncurkan iaitu Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas (KSP RMK12),” katanya.
Belanjawan ini adalah bajet kedua dibentangkan di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar. OLEH : AISYAH BADRUL