13 OKT : Kadar maksimum Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan dinaikkan kepada RM3,700 berbanding RM3,100 untuk tahun depan.
Kadar minimum STR untuk golongan beliau juga dinaikkan daripada RM350 kepada RM500.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu akan dimanfaatkan kepada hampir 9 juta penerima atau 60% penduduk dewasa di negara ini.
Anwar turut mengumumkan bayaran pertama STR 2024 akan disalurkan pada Februari tahun depan.
Peningkatan peruntukan kepada RM10 bilion berbanding RM8 bilion tahun ini dapat dilaksanakan susulan penjimatan menerusi pelaksanaan subsidi bersasar.
“Belanjawan 2023 memperuntukkan 64 bilion ringgit untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan tetapi keperluan tahun ini dijangka mencecah 81 bilion ringgit,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan untuk merasionalkan subsidi diesel secara berfasa bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan.
Beliau berkata keputusan itu dilakukan kerana berkemungkinan wujud aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel yang terlalu murah.
“Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40% sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang 3%,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024.
“Harga diesel bersubsidi semasa ditetapkan pada RM2.15 berbanding harga pasaran RM3.75 seliter. Ini bermakna, kerajaan menanggung RM1.60 bagi setiap liter diesel atau sekitar RM1.5 bilion keseluruhannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi.
Beliau berharap pendekatan ini akan dapat mengurangkan ketirisan subsidi dan pada masa sama mengurangkan impak kepada harga barangan. OLEH : AISYAH BADRUL