15 OKT : Malaysia menyasarkan sumbangan sebanyak RM100 juta bagi membantu perjuangan rakyat Palestin.
Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebagai permulaannya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu telah menyatakan komitmen Malaysia membantu Palestin dengan penyaluran dana RM10 juta.
“Sasaran kita berikan bantuan RM100 juta yang terbesar dalam sejarah negara kerana kita dukung perjuangan rakyat Palestin,” katanya ketika berucap merasmikan Zikir Perdana Sedunia 2023 di Masjid Putra di Putrajaya semalam.
Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.
Pada 9 Oktober lepas, Ahmad Zahid berkata Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) agar mengambil tindakan segera meminta semua pihak menghentikan segala tindakan keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini.
Ahmad Zahid berkata umat Islam di Malaysia perlu mengetepikan perbezaan terutamanya dari segi pegangan politik sebaliknya mendukung perjuangan rakyat Palestin ketika ini.
Beliau turut memuji pendirian semua Ahli Parlimen yang tidak menyanggah kenyataan dibacanya bagi pihak Malaysia di Dewan Rakyat pada 9 Okt lepas berkenaan Palestin.
“Kita sebagai sebuah negara berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan dihormati rakan negara jiran dan Islam lain,” katanya.
Zikir Perdana Sedunia 2023 bertemakan “Islam is The Answer” menampilkan program seperti Munajat Cinta, Khatam Al-Quran Perdana, Simposium Peradaban Ihsan, Syair dan Qasidah Melayu, Tahlil Perdana dan zikir munajat.
Ini merupakan edisi keempat penganjuran Zikir Perdana Sedunia selepas diadakan pada 2015, 2016 dan 2017.