16 OKT : Tiada lagi penstriman langsung di media sosial mengguna peranti peribadi dibenarkan ketika berucap atau berbahas di persidangan Dewan Rakyat.
Ketetapan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, hari ini.
Tegasnya, perlakuan membuat penstriman langsung ketika berucap tidak selaras dengan Peraturan Mesyuarat 35(1) yang menetapkan ahli Parlimen perlu mengarahkan ucapan kepada pengerusi mesyuarat.
Beliau mendapati sudah menjadi trend dalam kalangan ahli Parlimen meletakkan telefon bimbit di meja masing-masing untuk membuat perstriman langsung sejak kebelakangan ini.
“Tindakan beberapa Ahli Yang Berhormat berucap dengan tidak mengarahkan ucapan itu kepada pengerusi dan memandang peranti yang dipasang jelas tidak mematuhi peraturan berkenaan.
“Justeru, untuk memastikan Yang Berhormat mematuhi Peraturan Mesyuarat 35(1), saya dengan ini menetapkan bahawa Ahli-Ahli Yang Berhormat tidak lagi dibenarkan untuk memasang sebarang peranti bagi membuat penstriman langsung dalam Dewan Rakyat,” katanya pada permulaan sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beberapa wakil rakyat sebelum ini dilihat aktif menyiarkan secara langsung di semua platform media sosial mereka ketika berucap di Dewan Rakyat.
Ini termasuk Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.