11 OGOS: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membuka semula Zon Aliran Bebas di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian, Perlis yang dimansuhkan sejak 2015.
Ahli Parlimen BN Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Wang Kelian sebelum ini menjadi destinasi tumpuan pelancong yang hebat terutama pada hujung minggu dan keadaan itu membolehkan penduduk menjalankan pelbagai perniagaan untuk menambah pendapatan keluarga.
“Kawasan Wang Kelian dibuka sejak tahun 80-an dan bergerak begitu baik namun sejak insiden pemerdagangan manusia dikaitkan dengan 28 kem sementara dengan 138 kubur, kita lihat lahirnya kesan alasan kenapa Wang Kelian ditutup.
“Nak berdagang tak perlu takut kerana penyeludupan di pintu masuk tidak mungkin akan berlaku. Kalau berlaku di jalan lain bukannya pintu masuk. Kesan penutupan itu beri kesan besar kepada ekonomi Perlis.
“Dulu tiap tiap minggu pasti ada 200 buah bas membeli-belah (di Wang Kelian) tetapi sekarang nak cari dua tiga biji bas pun payah. Sememangnya harus dipertimbangkan semula,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2019 ) di Dewan Rakyat, hari ini.
Zon aliran bebas yang memberi kemudahan pergerakan bebas tanpa dokumen sehingga jarak kira-kira satu kilometer dari sempadan, masing-masing di Wang Kelian dan Wang Prachan di Satun, Thailand, menjadi tarikan utama pelancong ke kawasan itu sejak sekian lama.
Bagaimanapun, kemudahan itu dihentikan berkuat kuasa 1 April 2015 atas faktor keselamatan dan sejak itu semua warga negara Malaysia dan pelawat asing yang ingin keluar masuk melalui pos imigresen Wang Kelian-Wang Prachan, perlu mempunyai dokumen perjalanan sah.
Sementara itu, Shahidan yang juga merupakan Pengerusi Majlis Ahli Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN BBC) mencadangkan agar Menteri Dalam Negeri menarik balik Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 daripada dibahaskan.
Menurut beliau, menyatakan kewujudan suruhanjaya itu dilihat seolah-olah tidak memberi keadilan terhadap pasukan polis meskipun sudah wujud Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan.
“Kita jangkakan kerajaan keluarkan perkara tersebut dalam Rang Undang-Undang, nak masuk pun bagi terjauh sikit atau keluarkan terus daripada untuk dibahaskan. IPCMC tidak wajar diperkenalkan dan kenapa hanya polis diberi hukuman luar biasa.
“Lebih ramai (polis) yang menyokong tidak diadakan kerana hanya menghukum badan penguat kuasa ini sahaja, mereka boleh melaksanakan tugas dengan lebih baik,” katanya. -Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH