18 OKT : Penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin memaklumkan beberapa perkongsian yang dimuat naik sebelum ini berkenaan kesengsaraan dialami rakyat Palestin di Instagram miliknya sudah mula disekat.
Namun, Siti menegaskan perkara itu tidak menghalang atau menghentikan beliau daripada terus menyebarkan penderitaan rakyat Palestin kepada pengikutnya.
“Posting (hantaran) saya mengenai Palestin di IG feed sudah mula kena block (sekat). Tak mengapa, usaha diteruskan,” kata beliau menerusi hantaran Insta Stories, hari ini.
Dalam perkongsian yang sama, Siti turut meninggalkan pautan laman sesawang untuk orang ramai menderma kepada tabung bantuan khas Palestin.
Siti antara salah seorang selebriti tempatan yang giat menyebarkan maklumat mengenai pergolakan yang berlaku di Palestin menerusi perkongsian di media sosialnya.
Dalam perkembangan lain, beberapa pemimpin dunia mengutuk dan mengecam perbuatan tidak berperikemanusiaan Israel mengebom Hospital Al-Ahli Al-Arabi di Gaza yang mengakibatkan 500 orang rakyat Palestin terkorban, semalam.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan rejim zionis itu sebagai gila dan tidam berperikemanusiaan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden melahirkan rasa marah dan sedih dengan keadaan itu namun beliau tidak menuding kepada mana-mana pihak sebagai pelaku.
Dalam kenyataan pada Rabu, Biden berkata beliau menghubungi Raja Jordan, Raja Abdullah dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sejurus mendapat berita pengeboman hospital berkenaan.
“Saya sangat marah dan sedih dengan kejadian tang berlaku. Saya telah mengarahkan pasukan keselamatan negara untuk terus mengumpul maklumat tentang apa yang sebenarnya berlaku,” katanya menerusi hantaran di platform X.
Sementara itu, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam serangan itu dalam satu kenyataan di media sosial.
“Mengebom hospital yang mengandungi wanita, kanak-kanak dan orang awam yang tidak bersalah adalah contoh terbaru serangan Israel yang tidak mempunyai nilai kemanusiaan yang paling asas.
“Saya menjemput semua manusia untuk mengambil tindakan untuk menghentikan kekejaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini di Gaza,” katanya.
Raja Jordan Abdullah II menggelar serangan itu sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai dan memalukan manusia’.
Sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengutuk serangan itu dan menyifatkan ia sebagai insiden paling berdarah yang jelas melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Kementerian Luar Qatar berkata, serangan itu menandakan peningkatan yang berbahaya.
“Perluasan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza termasuk hospital, sekolah dan pusat penduduk lain adalah peningkatan yang berbahaya,” kata kementerian itu.
Kira-kira 3,000 penduduk Gaza terbunuh dalam serangan Israel sejak tentera rejim Zionis itu mula membedil wilayah Palestin pada 7 Oktober.