20 OKT : Rakyat Malaysia digesa terus mengadakan solat sunat hajat dan berdoa untuk rakyat Palestin yang sedang dizalimi Israel.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya rakyat Malaysia memohon bumi Palestin dapat terus dipertahankan khususnya Masjid Al-Aqsa.
Titah baginda, rakyat perlu membantu meringankan beban dialami saudara kita itu dengan memberi sumbangan termasuk kewangan mengikut kemampuan masing-masing.
“(Nasib) rakyat Palestin begitu sedih, begitu dukacita, kerajaan rejim zionis sudah menghancurkan ribuan rakyat Palestin.
“Saya harap dan menyeru semua rakyat terus berdoa kepada Allah supaya rakyat Palestin dipelihara, bertahan dan bersemangat tinggi,” titah baginda selepas Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Kampung Pahang Tua di Pekan, hari ini, lapor Bernama.
Turut hadir, anakanda baginda, Tengku Panglima Raja Kol Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Duta Besar Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Al Dhaheri.
Ru’RASA adalah bantuan rumah kepada golongan memerlukan yang dibina dengan kerjasama UAE dan 16 penduduk layak menerima kunci rumah itu semalam.