Empat penguat kuasa MBSA direman tujuh hari
12 OGOS: Perintah reman tujuh hari dikenakan ke atas empat penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan seorang individu dipercayai penjual rokok seludup.
Majistret, Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan perintah reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya di hadapannya kira-kira jam 9.15 pagi ini.
Semua yang ditahan reman bermula hari ini sehingga 18 Ogos itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Suspek berusia 40-an sebelum itu dilihat tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 8.40 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM dan bergari.
Semalam, SPRM menahan empat pegawai penguat kuasa yang bertugas di MBSA Cawangan Sg Buloh dan MBSA Shah Alam.
Seorang peniaga rokok seludup keturunan Aceh yang tidak mempunyai sebarang dokumen turut ditahan.
Memetik laporan media, difahamkan sogokan bulanan bagi setiap premis, dipercayai menjadi punca perniagaan haram dan tanpa lesen berleluasa di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh.
Nilai sogokan terbabit yang dibayar kepada anggota penguat kuasa yang mengawasi kawasan itu, dipercayai bergantung kepada saiz premis dan jenis perniagaan yang dijalankan.
Antara premis yang membayar sogokan itu termasuk kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai yang menjalankan perniagaan di tempat tidak dibenarkan dan premis perjudian.
Isu ini menjadi perhatian ramai susulan pendedahan seorang lelaki yang dikenali sebagai Asri Janggut selepas memuat naik beberapa video mengenai kewujudan pusat judi haram online haram serta kedai runcit menjual rokok seludup.
Perkara itu bagaimanapun menjadi hangat selepas mendapat perhatian daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turun sendiri ke lokasi kejadian.