23 OKT : Kerajaan disaran lebih bersedia mengeluarkan belanja yang besar bagi mengatasi isu keterjaminan makanan yang semakin membimbangkan terutamanya melibatkan beras putih.
Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) berkata permasalahan ini perlu dipandang serius kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan yang lebih buruk pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau berkata satu pelan jangka panjang berkaitan keterjaminan makanan di negara ini perlu dirangka supaya kebergantungan terhadap makanan import dapat dikurangkan dari tahun ke tahun.
“Bermula dengan minyak, telur dan ayam dan kini kita berhadapan dengan isu beras. Isu kekurangan beras ini berasaskan beberapa faktor cuaca, wabak, sekatan eksport dan sebagainya.
“Ini bukan isu dalam Malaysia sahaja, tetapi isu global. Sebab itu suka atau tidak, kita kena mengambil serius soal keterjaminan makanan.
“Saya mengharapkan supaya kerajaan perlu bersedia untuk berbelanja dengan jumlah yang agak besar dalam soal keterjaminan makanan kerana ini merupakan satu time bomb, jika kita tidak dapat selesaikan dalam waktu ini, masalah yang sama kita akan hadapi pasa tahun mendatang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang Undang (RUU) Perbekalan 2024, di persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan tentang kepentingan Kerajaan Negeri meminta peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keterjaminan makanan di setiap negeri berada pada tahap baik.
Memberi contoh di Negeri Sembilan yang bukan negeri utama pengeluaran padi, beliau berkata peruntukkan yang diperoleh dapat memastikan industri pertanian lain dapat juga digerakkan, selain berusaha mewujudkan kilang pengeluaran padi di negeri itu.
“Kerajaan Negeri Sembilan memohon RM20 juta khusus daripada kerajaan persekutuan menerusi Belanjawan 2024 bagi menperkukuhkan projek keterjaminan makanan dan keselamatan bagi Negeri Sembilan.
“Peruntukan yang dimohon ini bagi membantu industri pertanian, perikanan, penternakan serta menguruskan tanah yang terbiar,dan mengikut sumber agromakanan Negeri Sembilan, kita sudah tidak dapat menampung keperluan negeri lain tetapi sekurang- kurangnya cukup untuk menampung dan menjamin bekalan makanan di Negeri Sembilan mencukupi.
“Kenapa peruntukan penting? Kerana Kerajaan negeri (Negeri Sembilan) ketika ini tidak mempunyai kilang beras atau pusat pemprosesan beras,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Negeri Sembilan mempunyai 1,200 hektar tanah penanaman padi namun, padi yang diusahakan terpaksa dihantar ke negeri-negeri berdekatan bagi tujuan pemprosesan.
“Masalahnya apabila kita hantar beras di negeri-negeri itu, beras itu tidak sampai semula ke Negeri Sembilan dan mengkibatkan rakyat Negeri Sembilan beli beras di luar.
“Dan apa yang kita harapkan daripada peruntukan tersebut,pada tahun-tahun akan datang Negeri Sembilan mampu mendirikan kilang pemprosesan padi bagi menampung keperluan beras di negeri ini,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL