23 OKT : Konvoi ketiga yang membawa bantuan ke Semenanjung Gaza dilaporkan memasuki sempadan Rafah di Mesir, hari ini selepas bantuan pertama dibenarkan melalui laluan itu pada Sabtu.
Kumpulan kedua konvoi bantuan 14 trak dengan muatan peralatan perubatan, makanan dan air masuk ke Semenanjung Gaza melalui sempadan Rafah pada malam semalam selepas kumpulan pertama masuk pada Sabtu dengan 20 trak bantuan.
Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan Gaza memerlukan kira-kira 100 trak setiap hari untuk memenuhi keperluan di wilayah itu yang menempatkan 2.3 juta orang.
Sebelum ini berlaku pertikaian berkaitan prosedur memeriksa bantuan dan pengeboman di sempadan Gaza menyebabkan bantuan kemanusiaan itu terkandas di hadapan pintu masuk Rafah di Mesir.
Penduduk wilayah itu berdepan krisis makanan, air dan bahan api selepas Israel mengenakan pengepungan menyeluruh ke atas kawasan itu sebagai tindakan balas terhadap serangan pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu.
Setakat ini, angka kematian yang direkodkan mencecah 5,087 orang di Palestin termasuk 2,055 kanak-kanak, 1,119 wanita dan 217 warga emas.
Manakala 15,273 rakyat Palestin cedera dalam serangan Israel itu yang mengebom tanpa henti termasuk hospital dan sekolah.