25 OKT : Enam hospital di Gaza terpaksa ditutup akibat kekurangan bahan api, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut WHO dalam satu kenyataan, jumlah itu merupakan tambahan kepada hospital-hospital yang terpaksa ditutup akibat serangan udara Israel.
“Melainkan bahan api penting dan bekalan kesihatan tambahan segera dihantar ke Gaza, ribuan pesakit rentan berisiko kematian atau berhadapan komplikasi apabila perkhidmatan kritikal ditutup akibat kekurangan bekalan kuasa,” katanya.
Kata WHO, terdapat sejumlah pesakit rentan termasuk sekitar 1,000 orang bergantung kepada dialisis dan sekurang-kurangnya 130 bayi pramatang.
Sementara pesakit lain yang sedang menjalai rawatan intensif serta mereka yang perlu dibedah juga bergantung kepada bekalan elektrik yang stabil dan tidak terputus untuk terus hidup, kata WHO.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menggesa agar bekalan bahan api dibenarkan masuk ke Gaza dan menyokong WHO dalam menyeru gencatan senjata segera.
“Bahan bakar sangat penting untuk operasi kemudahan asas seperti hospital, loji penyahgaraman dan pam air.
“Unit penjagaan intensif neonatal menempatkan lebih dari 100 bayi baru lahir, sesetengah daripada mereka dalam inkubator dan bergantung kepada pengudaraan mekanikal, menjadikan bekalan kuasa yang tidak terputus satu perkara tentang hidup dan mati,” katanya.
Tular di media sosial beberapa klip video petugas perubatan memaklumkan bekalan elektrik hanya bertahan bagi beberapa jam sebelum terputus sepenuhnya.
Mereka juga menunjukkan bayu-bayi dalam inkubator yang menghitung masa sebelum elektrik terputus.