28 OKT : Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat menerima resolusi gencatan senjata segera serta membenarkan bantuan kemanusian dan perkhidmatan penting sampai ke Semenanjung Gaza tanpa halangan.
Menurut laman sesawang Berita PBB, pengundian semasa Sidang Khas Tergempar ke-10 itu menyaksikan resolusi ditaja Jordan diluluskan dengan 120 undi menyokong, 14 menentang, dan 45 tidak mengundi.
Sebelumnya, Jordan mencadangkan penggantungan hujahan negara anggota pada 3 petang Jumaat (waktu New York) untuk memulakan tindakan segera terhadap resolusi draf dan hujahan diteruskan selepas itu.
Bagaimanapun, penggantungan hujahan itu dibuat pada jam 3.40 petang.
Resolusi draf yang diketuai Jordan mengenai krisis itu mendapat sokongan awal daripada lebih 40 negara ahli termasuk Mesir, Oman, dan Emiriah Arab Bersatu.
Kanada sebelum itu mencadangkan sedikit pindaan kepada resolusi itu yang membidas tindakan Hamas terhadap Israel tetapi ia gagal mendapat sokongan diperlukan.
Undian mengenai pindaan itu adalah 85 menyokong, 55 menentang dan 23 tidak mengund jadi ia gagal untuk mendapatkan majoriti dua pertiga yang diperlukan.
Resolusi ini antara lain menyeru kepada gencatan senjata kemanusiaan dengan segera, berkekalan, dan berterusan serta menuntut semua pihak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan untuk menyediakan bekalan dan perkhidmatan penting ke Semenanjung Gaza yang berterusan, mencukupi, dan tanpa halangan.