28 OKT : Kerajaan perlu menentukan mekanisme terbaik, yang tidak membebankan rakyat khususnya golongan B40 sekiranya melaksanakan subsidi bersasar.
Pengerusi Backbenchers, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pelaksanaan subsidi secara bersasar sukar dilakukan, lebih-lebih lagi kaedah digunapakai kerajaan dalam pemberiannya sebelum ini dibuat secara pukal.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat meneliti serta mempertimbangkan cadangannya dalam melaksanakan pemberian subsidi menerusi pindahan tunai bulanan.
“Subsidi bersasar bukan senang mahu buat, tapi perlu dibuat kerana kita punya subsidi yang dibelanjakan jumlahnya sudah RM81 bilion.
“Subsidi minyak petrol yang kita bagi kepada semua rakyat ini, kita subsidi lebih kurang RM50 bilion, tapi 14 peratus saja pergi ke B40, yang lain semua orang boleh pakai. Jadi macam mana kita nak buat ini, mekanismenya kerajaan kena fikrilah,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian program White N Black Aquasport di Tasik Titiwangsa, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata kemunculan aktiviti air di kawasan tumpuan orang ramai di tasik berkenaan bakal menjadikan ia ikonik baru Kuala Lumpur.
Pada masa sama, beliau juga mengesyorkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya dilanjutkan operasi perniagaan pada hujung minggu iaitu dari Jumaat hingga Ahad kepada 11 malam berbanding 10 malam ketika ini.
“Supaya pengunjung ada masa lebih untuk beriadah dan berkunjung ke kawasan ini sementara peniaga pula dapat menambah waktu perniagaan serta meningkatkan kehadiran pelanggan mereka,” katanya.