31 OKT : Semua pihak digesa untuk tidak menggunakan isu kesengsaraan rakyat Palestin demi kepentingan politik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak mempunyai matlamat yang sama dalam memperjuangkan rakyat Palestin, meskipun dengan cara yang berbeza.
Tegas beliau, kerajaan kekal berpendirian rakyat Palestin perlu diberi keadilan setimpal mengikut undang-undang antarabangsa.
“Inilah suara demokrasi sebenar. Tak usahlah dipolitikkan. Masing-masing ada perbezaan cara tindakan.
“Jangan anggap isu ini boleh dipermainkan untuk dapatkan kepentingan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) berkenaan usaha tambahan kerajaan dalam isu Palestin pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar (PH-Tambun) menggesa semua pihak menumpukan perhatian kepada situasi yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza.
“Ini bukti yang mengejutkan berhubung serangan tanpa henti hasil pencerobohan Israel, kekejaman dan sikap tidak berperikemanusiaan. Ini bukan perang Palestin-Israel, ia bukan sama sekali perang.
“Sebenarnya apa yang berlaku di Palestin adalah pembunuhan beramai-ramai terhadap orang yang tidak berdaya di Gaza selama enam dekad.
“Apa yang berlaku terhadap rakyat Palestin adalah disengajakan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata situasi yang berlaku di bumi Palestin ketika ini merupakan satu peringatan terhadap perjuangan demi mencapai keadilan yang masih tidak menentu.
Justeru, beliau berkata semua pihak perlu bersatu dengan menunjukkan solidariti kepada golongan yang ditindas khusunya di Palestin.
“Seperti saya nyatakan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kredibiliti sistem antarabangsa itu sendiri adalah kita mesti menyuarakan pandangan kita dan menggalakkan orang lain berbuat demikian untuk mengekalkan sistem yang bertujuan menegakkan keamanan di dunia.
“Adalah satu tugas yang bodoh untuk berfikir bahawa Malaysia tidak terjejas dengan apa yang berlaku di dunia. Kami adalah sebuah negara perdagangan yang terbabit secara aktif dalam perdagangan dan ekonomi serantau dan antarabangsa.
“Jadi Malaysia terikat rapat dengan apa yang berlaku di seluruh dunia. Justeru, sebagai negara yang merdeka, kita terus menyatakan hak dan pendirian kita dalam isu keadilan dan kebebasan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya. OLEH : AISYAH BADRUL