1 NOV : Kerajaan sedang meneliti keputusan untuk memasang kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) di kawasan yang kerap berlaku kemalangan.
AwAS dulunya dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata usaha itu bagi mengurangkan risiko berlaku kemalangan akibat ketidakpatuhan kepada peraturan jalan raya.
Terutama melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju.
“Hal ini disokong dengan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang mendapati tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju.
“Isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera tersebut adalah mencecah 99 peratus secara keseluruhannya dan seterusnya telah mengurangkan risiko kemalangan jalan raya di lokasi penguatkuasaan kamera AwAS,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Suhaimi Nasir (BN-Libaran) mengenai status terkini cadangan bagi menambah dan menggantikan kamera AwAS serta kemungkinan terdapat sebarang jaminan pertambahan kamera tersebut mampu mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.
Tambahnya, pengguna jalan raya akan sentiasa diberikan peringatan yang jelas di kawasan penguatkuasaan kamera berkenaan.
Menurut Hasbi, sebelum ini kerajaan memasang papan-papan tanda amaran yang memaklumkan lokasi kamera AwAS beroperasi kepada semua pengguna jalan raya.
“Kamera AwAS bertujuan memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi peraturan jalan raya terutamanya di kawasan-kawasan titik hitam di mana nahas jalan raya kerap berlaku,” katanya.