2 NOV: Kerajaan akan terus memberi tumpuan dalam aspek tatakelola bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dan ketirisan membabitkan peruntukan dana awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelemahan tatakelola dikesan menerusi hasil audit pelbagai pihak yang mengakibatkan kerugian jutaan ringgit kepada negara.
“Walaupun ada pihak yang bosan mendengar saya menekankan soal reformasi dan tatakelola, pada saya ini yang harus diutamakan.
“Dalam taklimat oleh Ketua Audit Negara berhubung hasil pengauditan terkini yang akan dibentangkan, penemuan utama antaranya kerugian wang awam hampir RM700 juta, ini termasuk bagi pengurusan program penanaman padi negara; pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA); kawal selia senjata api di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kelemahan pengurusan dalam projek menaik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara kelemahan lain yang turut dikesan adalah mengenai laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai kegagalan 104 ventilator berfungsi daripada 136 yang diperolehi semasa pandemik COVID-19
“Kerajaan juga dilaporkan oleh PAC, kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin luput tarikh.
“Selain itu, pengurusan dana syarikat kerajaan juga kurang memuaskan, seperti skim pinjaman di bawah Tekun Nasional,” katanya.
Tegas Anwar, penemuan tersebut menunjukkan betapa pentingnya reformasi tatakelola bagi menangani pembaziran wang awam dan ketirisan.
“Usaha ini penting bagi memastikan perkhidmatan kerajaan benar-benar membantu keseluruhan lapisan rakyat di negara ini,” katanya.