3 NOV : Lebuh Raya Setiawangsa-Pantai (SPE) dibuka sepenuhnya bermula jam 11.59 malam ini, umum Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau turut mengumumkan tawaran tol percuma selama 30 hari hingga 2 Disember depan membabitkan Plaza Tol Chan Sow Lin, Ampang dan Setiawangsa.
Selepas tempoh itu, pengguna akan membayar kadar tol RM3.50 bagi kenderaan kelas satu (kereta).
Katanya, SPE yang turut menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) itu akan dapat mengurangkan kesesakan di ibu kota.
“Berdasarkan kajian pihak perunding trafik, lebuh raya ini dijangka mampu mengurangkan hingga 30 peratus masalah kesesakan lalu lintas yang sering dihadapi pengguna, terutama pada waktu puncak membabitkan laluan ke utara, timur, barat serta selatan Kuala Lumpur untuk masuk dan keluar dari pusat bandar raya.
“Pembukaan sepenuhnya SPE pasti akan membawa impak signifikan terhadap usaha kerajaan membantu menyuraikan trafik Kuala Lumpur, selain usaha menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk keselesaan rakyat setempat.
“Sebagai contoh, tempoh perjalanan pada waktu puncak dari Kerinchi ke Taman Melati, Gombak, dan sebaliknya dijangka mengambil masa hanya 35 minit berbanding laluan sedia ada yang mengambil masa 1 jam 30 minit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan pembukaan penuh SPE di Plaza Tol Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, hari ini.
Pembukaan hari kni membabitkan baki jajaran sepanjang 16.3 kilometer (km) dari Setiawangsa ke Kerinchi di mana sebahagian jajaran membabitkan Seksyen 4 (Setiawangsa-Taman Melati) sepanjang 4.4km sudah dibuka kepada pengguna pada 21 Disember 2021.
SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama, iaitu Kerinchi-Salak (Seksyen 1), Salak-Pandan (Seksyen 2), Pandan-Setiawangsa (Seksyen 3), dan Setiawangsa-Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7km, laluan tiga lorong dua hala serta tujuh persimpangan bertingkat.
Projek SPE ini juga merupakan penerima penganugerahan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi dua kategori binaan iaitu ‘Longest Double Deck Carriageway on Single Pier Structure (Dual Direction)’ sejauh 2.104 km dan ‘Longest Elevated Land Bridge’ sejauh 20.686km.