4 NOV : Kerajaan memutuskan untuk menggunakan sebahagian kutipan sumbangan menerusi Kementerian Luar Negeri (KLN) untuk membiayai kos sara hidup pelajar Palestin yang berada di Malaysia.
Menjelaskan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dalam mesyuarat tadi (Jumaat) telah menyatakan persetujuan untuk menggunakan sebahagian daripada RM100 juta kutipan sumbangan untuk digunakan kepada pelajar Palestin yang berada di negara ini (melibatkan) kos pengajian dan beberapa kos lain.
“Ini kerana pembiayaan terutama daripada ibu bapa mereka tidak dapat sampai disebabkan keluarga telah tiada akibat pengeboman, punca kewangan terputus atau disebabkan sistem penghantaran tersekat.
Ahmad Zahid ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan pelepasan penghantaran bantuan kemanusiaan Ops Ihsan di KLIA, malam tadi.
Katanya lagi, senarai nama pelajar yang terlibat akan dikemukakan oleh Duta Palestin (Walid Abu Ali) kepada KLN untuk tindakan seterusnya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut berkata, penghantaran pertama bantuan seberat 20 tan itu melibatkan barang keperluan yang disenaraikan bagi pihak keraajan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta dihantar melalui penerbangan sewaan khas.
Barang bantuan berkenaan akan diterbangkan ke Al-Arish, Mesir sebelum diserahkan kepada Bulan Sabit Merah Mesir sebagai rakan kerjasama bagi membawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah.
“Kami ucapan terima kasih kepada duta-duta daripada negara sahabat terutamanya negara Islam yang turut berada di KLIA dan memperlihatkan solidariti tidak berbelah bahagi kepada rakyat Palestin di Gaza,” ujarnya.
Ops Ihsan yang dijayakan oleh 45 NGO berjaya mengumpul sebanyak 50 tan barangan bantuan kemanusiaan dengan nilai keseluruhan hampir RM7 juta.