4 NOV : Rakyat Malaysia perlu mensyukuri dan menginsafi hakikat nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi negara ketika ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, nikmat keamanan ini tidak boleh dicemari dengan pelbagai polemik sehingga akhirnya menyemarakkan api permusuhan.
Titah baginda lagi, sengketa dan peperangan hanya akan meleburkan impian dan masa depan sesebuah negara, sehingga akhirnya mengundang kemusnahan kepada umat sejagat.
“Dunia sedang berhadapan pelbagai krisis yang mempunyai kesan secara langsung terhadap masa hadapan generasi muda. Pada hemat Beta, krisis yang paling menzalimi masa hadapan generasi muda dan dunia ialah konflik bersenjata, persengketaan dan peperangan.
“Sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1945, dunia tidak pernah aman daripada konflik, persengketaan dan peperangan yang meletus di pelbagai pelusuk dunia.
“Walaupun jutaan nyawa terkorban, berlaku kemusnahan harta yang dahsyat, mencetuskan konflik kemanusiaan dan memusnahkan sistem ekologi dunia, namun manusia masih enggan mempelajari dan mengambil iktibar daripada sejarah lampau,” titah baginda dalam Titah Diraja pada Majlis Konvokesyen ke-20 Universiti Kuala Lumpur (UniKL), hari ini.
Seri Paduka turut menzahirkan rasa dukacita dengan konflik terkini di Palestin dan mendoakan agar Allah SWT melindungi dan mengurniakan kekuatan kepada rakyat Palestin, serta supaya bumi Palestin mendapat kedamaian.
Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UniKL bertitah, mengambil pengajaran daripada nasib yang menimpa rakyat Palestin, generasi muda dan belia negara perlu terus dilengkapkan dengan ilmu pengetahuan.
Titah Seri Paduka, pendidikan adalah kekuatan yang boleh menitipkan nilai-nilai murni dan kesedaran untuk menolak sebarang bentuk keganasan.
“Selain daripada berterusan menimba ilmu pengetahuan setinggi yang mungkin, generasi muda negara hendaklah dididik serta diasuh dengan semangat patriotisme yang tinggi, untuk sentiasa berdiri teguh menjulang prinsip kesetiaan kepada Raja dan tanah air tercinta.
“Mereka juga hendaklah diterap dengan nilai-nilai demokrasi yang mempertahankan identiti bangsa, agama, kedaulatan negara dan keluhuran Perlembagaan, agar tanah air tercinta tidak tergadai kepada kuasa asing, yang sentiasa menangguk di air yang keruh,” titah Al-Sultan Abdullah.
Seri Paduka bertitah generasi muda sebagai pewaris negara, perlu dibentuk dan dididik sebagai penggerak utama untuk mencorakkan masa hadapan negara.
Titah baginda, mereka bukan hanya perlu cemerlang dalam pendidikan, malah juga memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang sampingan lain selain berakhlak mulia serta terpuji.
Seramai 6,039 graduan terbabit dalam majlis konvokesyen bagi 2023, diadakan dalam lapan sesi bermula hari ini hingga 7 November.