6 NOV : Pemimpin dunia Islam termasuk Malaysia akan mengadakan perbincangan berkaitan konflik kemanusiaan di Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sudah menghubungi pemimpin-pemimpin tersebut termasuk Turkiye dan Iran.
Menurut Anwar, beliau turut mengusulkan supaya pertemuan itu tidak dihadkan hanya kepada pemimpin negara Islam sebaliknya dibuka kepada negara lain seperti Brazil, Ireland, Rusia dan China.
“Saya mulanya mengusulkan jangan hanya dalam kalangan pemimpin negara Islam kerana Brazil, Ireland, Rusia dan China itu mempunyai pendekatan lunak, pendirian untuk mempertahankan hak kemanusiaan.
“Tetapi apabila berbincang dengan pemimpin, belum ada konsensus membawa negara luar Islam.
“Jadi keputusan sekarang ini, yang bincang dengan Putera Mohammed bin Salman (Putera Mahkota Arab Saudi), Presiden Turkiye (Recep Tayyip Erdogan) ialah adakan dalam tempoh segera, mungkin sehari dua ditetapkan beberapa tarikh mempertemukan pemimpin Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.
Menurut Anwar, kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza kian mendapat perhatian dunia terutama di Barat yang dibahas secara terbuka hingga hari ini malah banyak tunjuk perasaan dianjurkan secara besar-besaran yang disertai tanpa mengira kaum dan agama.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida yang bertemunya sebelum ini turut mendukung agar serangan di Gaza itu dihentikan.
“Dia (Rutte) ada maklum dua per tiga (rakyat Belanda) simpati kepada Palestin dan saya juga sudah minta (kepada Rutte supaya) disampaikan pandangan Malaysia kepada pemimpin negara Eropah,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata hubungan baik antara Malaysia dan Mesir membolehkan bantuan kemanusiaan negara ini dihantar dengan segera kepada rakyat Palestin.
Katanya, Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi juga mengotakan janjinya untuk mempermudah urusan bantuan kemanusiaan daripada Malaysia ke Gaza.
“Dalam pertemuan (dengan El-Sisi) sentimennya sangat baik dan saya minta beri keutamaan bantuan kemanusiaan dari Malaysia.
“Alhamdulillah, beliau pegang pada janji. Malaysia dan pesawat kita sampai antara paling cepat, diberi layanan dan dapat seberang sempadan,” katanya.