7 NOV : Penjawat awam beragama Hindu diberi cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Dr Zulkapli Mohamed berkata kerajaan bersetuju agar cuti yang jatuh pada 12 November (Ahad) dibawa ke 14 November (Selasa) di negeri yang hari kelepasan mingguannya adalah Ahad.
Namun katanya, perkara itu tertakluk kepada penerimaan pihak berkuasa masing-masing.
“Peruntukan cuti tanpa rekod terikat kepada hari yang dibenarkan sahaja dan tidak boleh dibawa ke hari berikutnya sekiranya cuti tanpa rekod itu jatuh pada hari kelepasan am atau hari kelepasan am mingguan.
“Namun begitu, kerajaan pada 3 November bersetuju memberi pengecualian bagi 2023,” katanya dalam surat edaran yang disiarkan di portal Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Memetik laporan Bernama, Zulkapli berkata perkara itu dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.
Katanya, mulai 2018 kerajaan memperuntuk cuti tanpa rekod sempena perayaan Deepavali selama sehari iaitu pada hari berikutnya (hari kedua) kepada pegawai perkhidmatan awam yang menganut agama Hindu sebagai tambahan kepada cuti umum Deepavali.
Ia bagi memberi lebih ruang kepada mereka menyambut perayaan itu bersama keluarga.
Peraturan ini, katanya dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian SR 5.3.6 dan cuti tanpa rekod itu terpakai kepada semua negeri di Malaysia kecuali Sarawak mengambil kira Deepavali bukan hari kelepasan am di negeri berkenaan.