7 NOV : Angka kematian di Gaza kini sudah melebihi 10,000 orang, kata Kementerian Kesihatan Palestin.
Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf al-Qudra berkata junlah rakyat negara itu yang terkorban dalam serangan rejim Tel Aviv setakat ini seramai 10,022 orang manakala 25,000 lagi cedera.
Katanya, angka korban itu termasuk 4,104 kanak-kanak dan 2,641 wanita.
Kementerian Kesihatan turut menerima laporan kira-kira 2,350 lagi hilang termasuk sekitar 1,300 kanak-kanak.
Israel turut mensasarkan tiga hospital di Gaza City termasuk hospital mata, hospital psikiatri dan Hospital Kanak-Kanak Al-Rantisi yang mengorbankan lapan penduduk Palestin dan 125 lagi cedera.
Penduduk di wilayah itu kini berdepan kekurangan bekalan asas bagi menampung 2.3 juta orang yang dikepung rejim zionis.
Sementara itu, sumber dari Mesir berkata pemegangan pasport asing dan berapa mangsa perang yang cedera dari Gaza dilaporkan melintasi pintu Rafah untuk ke negara itu sejak Isnin lalu, tiga hari selepas laluan itu ditutup.
Laluan itu ditutup sejak Sabtu selepas sebuah ambulans diserang zionis.
Proses pemindahan yang disambung semula pada Isnin menyaksikan 80 pemegang pasport dwi-kerakyatan dan 17 mangsa yang cedera meninggalkan Rafah pada awal petang.
Laporan itu juga menyebut 48 trak bantuan masuk menuju ke Gaza, berkurangan sejak ambulans dibedil.