8 NOV : Polis memperkemas kawalan keselamatan di pintu masuk negara berikutan ketegasan Malaysia dalam isu Palestin.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata Cawangan Khas juga mempertingkatkan lagi risikan bagi melindungi pihak yang berkemungkin dijadikan sasaran.
“Kawalan juga akan dipertingkatkan terhadap sasaran penting termasuk penglibatan warga asing yang ada di sini yang berkemungkinan menjadi sasaran pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku di Palestin.
“Kita beri jaminan akan sentiasa mempertingkatkan kawalan dengan mengumpul maklumat kita sebelum mengambil tindakan susulan sekiranya ada cubaan daripada pihak tidak bertanggungjawab atau melanggari undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun 69 Komando kali ke-54 dan penutupan Kursus Asas 69 Komando siri 1/2023 di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta di Ipoh, hari ini.
Dalam pada itu, Ayob Khan menasihatkan orang awam agar tidak bimbang dengan keselamatan negara.
“Berdasarkan rekod, PDRM dapat mengesan awal tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Dalam konteks ‘Islamic state’ (IS), sebanyak 26 cubaan melancarkan serangan dapat dipatahkan pasukan polis dalam tempoh 2013 hingga 2020.
“Jadi, rakyat tidak perlu gusar dan takut. Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Isu keselamatan serahkan kepada pihak polis dan kita akan ambil langkah yang sesuai,” katanya.