9 NOV : Empat ahli Parlimen pembangkang daripada Bersatu yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon untuk menukar tempat duduk mereka di Dewan Rakyat.
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata keempat-empat ahli Parlimen itu sudah menghantar surat kepadanya memaklumkan hal tersebut.
“Mereka menghantar surat kepada saya hari ini dan saya akan lihat susunan kerusi di Dewan Rakyat dahulu.
“Saya akan menghubungi ahli Parlimen terbabit untuk membincangkan perkara itu dalam mesyuarat tidak rasmi,” katanya ketika sidang media di Parlimen, hari ini.
Beliau menjelaskan undang-undang antilompat tidak terpakai kepada ahli-ahli Parlimen itu kerana mereka hanya mengisytihar menyokong pentadbiran Anwar.
“Apa yang berlaku ialah mereka menyatakan sokongan untuk Anwar jadi kerusi mereka tidak akan dikosongkan,” katanya.
Terdahulu, empat Ahli Parlimen daripada Bersatu, Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan mereka terbela dan mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.
Bagaimanapun, keempat-empat mereka menyatakan akan kekal setia terhadap Bersatu.
Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian dan semua jawatan Suhaili selama enam tahun manakala Iskandar pula selama empat tahun.
Manakala Zahari dan Azizi masih belum diputuskan oleh partinya itu.