PM mahu ketengah isu Palestin di APEC, raih sokongan global
13 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat mengetengahkan situasi di Palestin bagi tujuan meraih sokongan global dalam Mesyuarat ke-30 Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang bermula Selasa ini.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat ke-30 APEC yang berlangsung di California, Amerika Syarikat (AS) sehingga Jumaat ini.
Katanya, selain isu Palestin, perdana menteri juga akan mengetengahkan isu akses kemanusiaan dan penyelesaian yang adil terhadap konflik di Asia Barat yang sudah berlarutan sejak 75 tahun itu.
“Perdana menteri turut mengambil peluang (di APEC) untuk berkongsi keutamaan dan prinsip Malaysia di bawah Rangka Kerja Ekonomi MADANI, menekankan keterangkuman, pembangunan mampan dan kerjasama untuk kemakmuran bersama.
“Penyertaan Malaysia dalam sidang APEC adalah komitmen berterusan negara mengukuhkan kerjasama dan meningkatkan kemakmuran ekonomi serta memupuk pembangunan yang saksama dan inklusif untuk semua,” menurut kenyataan itu.
Turut bersama dalam delegasi Malaysia ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil serta pegawai kanan kerajaan.
APEC 2023 yang bertemakan ‘Membina Masa Depan yang Berdaya Tahan dan Mampan untuk Semua dijangka akan membincangkan secara mendalam mengenai topik yang berpusat kepada pengukuhan hubungan ekonomi, meningkatkan keterangkuman dan kemampanan serta mengukuhkan daya tahan dan kerumitan ekonomi.
Menurut kenyataan itu lagi, perdana menteri dijadual mengetuai delegasi Malaysia ke Dialog Tidak Rasmi Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC bersama Tetamu, iaitu Pemimpin Colombia, Fiji dan India; Dialog Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) dengan Pemimpin-Pemimpin Ekonomi APEC dan Sidang Kemuncak Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APEC 2023, semasa berada di San Francisco juga.
“Pembabitan dalam acara ini akan menjadi peluang kepada perdana menteri menyatakan perspektif Malaysia mengenai ekonomi global semasa dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau yang mendesak dengan Ketua-ketua Pegawai Ekskutif (CEO) yang berpengaruh, usahawan dan pemimpin APEC,” katanya.