13 NOV : Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron, 37 yang terkandas di Khan Yunis, Gaza sejak 7 Oktober lalu selamat dibawa keluar dari wilayah itu melalui lintasan sempadan Rafah, awal hari ini.
Wisma Putra memaklumkan perkara itu berkata wanita tersebut selamat dibawa keluar bersama suaminya, Mohamed A M Shaat yang merupakan rakyat Palestin jam 8.23 malam waktu tempatan (2.33 pagi waktu Malaysia).
“Ketibaan Puan Nurul Ain dan suami di lintasan sempadan Rafah dimudahcara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai kedutaan yang lain.
“Sejurus Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, beliau dihubungi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir) untuk bertanya khabar melalui panggilan video,” katanya.
Menurut Wisma Putra, tindakan evakuasi itu dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan antara Anwar dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan kerja perdana menteri ke republik itu pada 23 Oktober lalu.
Tambahnya, kejayaan itu juga hasil penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.
“Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka,” katanya.
Kementerian Luar sempat merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Arab Mesir, Qatar, Kedutaan Besar Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur.
“Penghargaan itu di atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi rakyat Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza dengan selamat,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Nurul Ain ke Gaza mengikut suaminya pada 1 Oktober lalu selepas enam tahun berkahwin namun setelah hampir seminggu pergolakan tercetus.