16 NOV : Buat pertama kali sejak perang tercetus, Benjamin Netanyahu digesa meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri Israel.
Gesaan itu dibuat pemimping pembangkang Israel, Yair Lapid seperti dilaporkan portal berita Al Jazeera.
Dalam temu bual dengan saluran berita Channel 12 Israel, pemimpin parti Yesh Atid itu menegaskan Netanyahu sepatutnya meletak jawatan kerana sudah kehilangan kepercayaan rakyatnya.
“Netanyahu harus segera berundur semasa pertempuran ini berlangsung. Kita perlukan sebuah kerajaan yang boleh dipercayai,” katanya secara terbuka.
Lapid turut mencadangkan parti pimpinan beliau membentuk sebuah kerajaan dengan Likud Netanyahu dan parti politik lain.
Namun Likud mengkritik gesaan dibuat Lapid dan menuduhnya bermain politik semasa perang.